Jata Negeri Sarawak | Jata negeri Sarawak sudah mula digunakan sejak tahun 1868, era Dinasti Keluarga Brooke. Sebelum kedatangan James Brooke pada tahun 1939 - 1940, keseluruhan tanah Sarawak dari Tanjung Datu ke Lawas asalnya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei. Asalnya keluasan Sarawak hanya meliputi Bahagian Kuching termasuk Bau dan Muara Sungai Samarahan sahaja, sebelum perluasan jajahan kuasa oleh James Brooke dan Charles Brooke.

Untuk Sarawak yang pernah diperintah oleh Dinasti Keluarga Brooke sejak dari tahun 1841 hingga 1946, Sarawak turut pernah mempunyai jata negara tersendiri. Sehingga ke hari ini, ramai yang tidak mengetahui apakah sejarah di sebalik jata negara yang digunakan oleh Brooke selama lebih 100 tahun memerintah.
 
Dalam pada itu, penggunaan warna pada jata negara yakni merah, hitam dan kuning turut sama ditampilkan di dalam rekaan bendera Sarawak dari zaman Brooke, Koloni British dan seterusnya Sarawak, Malaysia, biarpun pada tahun 1974, Sarawak pernah mempunyai bendera tersendiri yang dinamakan Trisakti. Ianya menggunakan warna berbeza sama sekali iaitu biru, putih dan merah. Jata negara turut bertukar yakni menampilkan burung kenyalang yakni ikon burung untuk Sarawak menggantikan jata negara sewaktu Brooke.  Ianya digunapakai dari tahun 1974 hingga 1988. 

Jika kita menggodek sejarah jata negara Sarawak sewaktu Brooke sehinggalah kepada penggunaan warna merah, kuning dan hitam yang digunapakai sejak tahun 1988 sehinggalah sekarang, masih belum mempunyai jawapan yang tuntas dan dikaji secara menyeluruh. Walaupun begitu, selama hari ini, pensejarahannya bersandarkan kepada penceritaan lisan yang diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain kerana Sarawak sewaktu Brooke memerintah hanya mempunyai bendera dan jata rasmi ketika pemerintahan rajah kedua iaitu Sir Charles Johnson Brooke (dipanggil Sir Charles Brooke) yang memegang tampuk pemerintahan Sarawak dari tahun 1868 hingga 1917. 

Cerita lisan yang didodoikan kepada rakyat Sarawak selama ini adalah dikatakan semasa Sir Charles Brooke mengadakan majlis ulangtahun kelahirannya telah diberikan dengan pelbagai hadiah oleh segenap lapisan masyarakat di Sarawak pada waktu itu. Sesuatu yang menarik perhatian beliau adalah cara pembungkusan hadiah yang diterima mempunyai makna yang tersendiri. 

Pembungkusan hadiah dengan kain berwarna kuning adalah daripada kaum Melayu Sarawak yang mana kita semua mengetahui bagaimana warna kuning itu sinonim dengan warna diraja. Demi menghormati martabat Sir Charles Brooke sebagai tuan rajah Sarawak maka majoriti hadiah daripada kaum Melayu Sarawak menggunakan warna kuning. Manakala untuk masyarakat Cina Sarawak pula tampil dengan bungkusan kain berwarna merah. Umum mengetahui merah itu bermaksud tuah atau “ong” di dalam masyarakat Cina jadi tidak menghairankan penggunaan warna merah itu begitu popular sekali.

Dan bagi masyarakat Dayak di Sarawak pada masa itu lebih gemar memilih untuk menggunakan bungkusan kain berwarna hitam untuk diberikan kepada Brooke. Hitam itu di dalam masyarakat Dayak adalah satu warna yang begitu mulia dan kerana itulah jika kita melihat kepada busana tradisi masyarakat Dayak di Sarawak itu sendiri sentiasa ada yang menyelitkan warna hitam di dalam pemakaian mereka.

Bertindak daripada penggunaan warna-warna yang berbeza-beza ini konon-kononnya dikatakan telah memberikan idea kepada Sir Charles Brooke untuk menjadikan warna kuning, merah dan hitam sebagai warna bendera Sarawak yang melambangkan perpaduan berbilang kaum di Sarawak. Manakala pada jata negara turut menampilkan warna yang sama dan seterusnya turut menonjolkan seekor haiwan yang dikenali sebagai luak (badger). Badger ini dikenal dalam bahasa heraldik sebagai "brock", simbolik dengan nama Dinasti Keluarga Brooke. Inilah cerita disebalik warna bendera dan jata negara Sarawak di zaman Brooke yang sudah begitu diketahui oleh rakyat Sarawak dari dahulu hingga sekarang.

Dek kerana ia hanyalah satu cerita lisan maka tidaklah boleh digunapakai sepenuhnya. Ini kerana jika kita betul-betul membuat kajian mengenai penggunaan warna pada bendera serta jata negara Sarawak sewaktu zaman Brooke sebenarnya boleh dijejaki nun melangkau sehingga ke negara England pada kurun ke 14 hingga ke 17 Masihi. Pada masa itu, England begitu hebat dengan cerita keagungan, kepahlawanan dan kesetiaan kesatria (knight, baron) di kalangan anggota Tentera Diraja Great Britain yang melindungi Raja England.

Apa yang begitu menarik, Sir Charles Brooke telah mengadaptasi warna dan lambang jata negara seorang kesatria Britain yang dimulai oleh Sir Thomas Brooke dan seterusnya Sir Richard Brooke. Sir Thomas Brooke merupakan seorang kesatria diraja Britain dari tahun 1391 hingga 1439. Kemudian diwarisi kepada legasi anak-anak lelaki sehinggalah kepada Sir Richard Brooke dari tahun 1632. Tambah menarik lagi keluarga Sir Thomas Brooke itu berasal daripada Sommerset, England yakni kampung halaman kepada keluarga James Brooke itu sendiri.

Jata Negeri Sarawak

Jika difikirkan bagaimana mungkin Sir Charles Brooke tampil dengan idea untuk mengadaptasi jata negara yang dimiliki oleh Knight Brooke sebegitu sahaja. Mesti ada pertalian antara mereka kerana nama keluarga turut sama iaitu Brooke, malah bukan satu rahsia lagi bahawasanya ayah kepada Sir James Brooke, rajah pertama Sarawak yang juga datuk kepada Sir Charles Brooke iaitu Thomas Brooke merupakan seorang tentera Britain yang berpangkalan di India. Mungkin ada susurgalur mereka yang berkaitan dengan Sir Thomas Brooke hingga ke Sir Richard Brooke kerana berasal daripada tempat yang sama. Perkaitan geneologi ini mungkin hanya boleh dirungkai oleh mereka yang pakar sahaja.

Jata Negeri Sarawak
Jata Sarawak sehingga tahun 1941

Dengan membuat penambaikan kepada jata negara Sir Thomas dan Sir Richard Brooke inilah maka tampilnya jata negara Sarawak dibawah Sir Charles Brooke. Dan ketika pemerintahan Rajah ketiga iaitu Sir Charles Vyner Brooke pula, dilakukan penambahan motto iaitu Dum Spiro Spero di dalam bahasa latin yang membawa maksud “While I Breath, I Hope” di dalam bahasa Inggeris. Motto ini sebenarnya turut digunakan oleh negara atau negeri lain di dunia seperti North Carolina, USA malah golongan keluarga aristokrat di England seperti Bushnell turut berkongsi motto yang sama di dalam sejarah keluarga mereka.  Sekaligus penambaikan daripada dua rajah ini telah memberikan jata negara Sarawak itu agak unik jika dibandingkan dengan yang asal yakni jata kesatria-kesatria Brooke dari Sommerset, England. Jata ini digunakan sehingga tahun 1941.

Jata Negeri Sarawak
Jata Sarawak sehingga tahun 1946

Sir Charles Vyner Brooke juga memperkenalkan versi baru jata negara Sarawak semasa pemerintahannya dengan menambah mahkota berbucu lima, melambangkan lima bahagian kerajaan Sarawak pada masa tersebut. Namun, jata negara ini hanya bertahan sehingga tahun 1946 sebelum Sir Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada British Crown Colony kerana tidak mampu membangunkan semula Sarawak kesan dari kemusnahan selepas penjajahan Jepun.

Jata Negeri Sarawak
Jata Sarawak tahun 1947 - 1973

Pada 10 Mac 1947, Sarawak mendapat jata negara yang baru di bawah British Crown Colony, menyerupai jata sebelumnya, tetapi tanpa luak dan riben. Jata ini terus digunapakai setelah Sarawak bergabung dengan Malaysia pada tahun 1963 dan digunakan hingga tahun 1973.

Jata Negeri Sarawak
Jata Sarawak 1 September 1973 - 30 Ogos 1988

Tanggal 1 September 1973, Sarawak menggunakan jata negeri yang lebih kepada identiti sendiri. Burung kenyalang dari spesis Buceros Rhinoceros dijadikan sebagai maskot dengan 13 helai bulu pelepah di bahagian sayap kanak, kiri dan ekor bagi melambangkan 13 negeri dalam Malaysia ketika itu. Bendera Sarawak (Trisakti) terletak di bahagian dada burung kenyalang, manakala perkataan Sarawak di bawah bendera. Bunga raya terletak pada bahagian kanan dan kiri, sementara kaki burung menggenggam riben bertulis motto "HIDUP SELALU BERKHIDMAT".

Jata Negeri Sarawak
Jata Sarawak tahun 1988 - kini

Pada 31 Ogos 1988, jata negeri yang baru menggantikan jata sebelumnya seiring dengan pertukaran bendera negeri yang baru. Bendera Trisakti dikatakan terlalu mirip dengan bendera Czechoslovak dan untuk mengelakkan kekeliruan, Sarawak memilih untuk menukar bendera negeri dengan merujuk kepada jata negara lama dari tahun 1841.

Jata negeri Sarawak yang terkini menjungjung kemegahan "Bumi Kenyalang", terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha, berpandukan ideologi 'politik permbangunan'. Jata negeri  ini juga boleh membezakan keunggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.

Jata negeri  berupa burung Kenyalang yang mengembangkan sayapnya dengan perisai yang mempunyai bendera negeri di dadanya. Sayapnya mempunyai 13 butir bulu yang melambangkan 13 buah negeri di Malaysia. Bunga raya merupakan bunga kebangsaan Malaysia terletak di sebelah kanan dan kiri kaki burung. Burung Kenyalang ini bertenggek di atas reben yang memaparkan cogan kata "Bersatu, Berusaha, Berbakti".

Rujukan: