Laksa Sarawak | Nama makanan ini memang tidak asing lagi dikalangan rakyat Sarawak. Malah, dikalangan rakyat Malaysia di luar Sarawak pun, nama menu ini sudah semakin mendapat tempat dalam hati peminatnya yang tersendiri. Rasanya kuahnya yang berlemak dengan sedikit pedas cukup menaikkan selera sesiapa pun yang menikmatinya.

Laksa Sarawak

Bahan utama Laksa Sarawak adalah sambal laksa yang diperbuat daripada pelbagai ramuan. Ia mempunyai sup asas mengandungi sambal belacan yang memberikannya warna seakan kemerahan yang turut dicampur dengan santan, asam jawa, bawang putih, lengkuas, dan serai. Di atasnya pula ditabur dengan cebisan telur goreng, hirisan ayam, udang, dan daun ketumbar. Perahan limau kasturi juga ditambah mengikut citarasa masing-masing.

Menariknya, bahan utama Laksa Sarawak bukanlah daripada ikan, tetapi stok air rebusan ayam dan juga udang. Laksa Sarawak biasanya dimakan dengan bihun, bukan mee laksa seperti di kebanyakan negeri yang lain. Kalau di Sarawak, bihunnya nampak seperti sedikit tebal seakan-akan vermicelli pasta. Dan ada juga yang menggunakan pasta halus bagi menggantikan bihun kerana tekstur pasta yang lebih menyerap.

Menu ini boleh didapati di kebanyakan restoran di Sarawak, terutamanya restoran khas yang menyediakan menu makanan tradisional negeri Sarawak. Malah, pes segera Laksa Sarawak juga boleh didapati di kedai-kedai runcit dengan mudah. Ini menyebabkan ia menjadi antara pilihan buah tangan utama bagi pelancong yang datang ke negeri ini.

Laksa Sarawak
Kredit gambar: Bhumiikita

Rujukan: Wikipedia